Larian amal kutip dana pusat hemodialisis, Paliatif

JOHOR BAHRU 7 Mac – Seramai 200 peserta daripada pelosok negeri ini menyertai larian amal bagi mengutip dana sebanyak RM500,000 untuk kegunaan Pusat Hemodialisis dan Pusat Jagaan Paliatif yang dikendalikan oleh Kelab Rotary Johor Bahru di sini semalam.

Acara pelepasan larian amal yang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini itu dilaksanakan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad kira-kira pukul 7.30 pagi.

Kesemua mereka berkumpul seawal pukul 7 pagi untuk menyertai larian yang dianjurkan buat julung kalinya oleh kelab tersebut.

Pengerusi kelab berkenaan, Dr. S. Sivamorthy berkata, kedua-dua pusat berkenaan memerlukan dana sekurang-kurangnya RM500,000 setiap tahun untuk beroperasi bagi menampung kos pentadbiran, rawatan dan utiliti yang lain.

Beliau berkata, kedua-dua pusat berkenaan beroperasi hasil sumbangan daripada beberapa buah syarikat dan individu yang bermurah hati demi kelangsungan hidup semua pesakit yang menggunakan kemudahan tersebut.

“Sehingga kini, pusat hemodialisis yang ditubuhkan sejak 1990-an mempunyai 64 orang pesakit yang mana setiap bulan memerlukan kos operasi antara RM30,000 hingga RM40,000,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Pusat Jagaan Paliatif pula, katanya, ia ditubuhkan sejak 1985 bagi membantu mereka yang mempunyai ahli keluarga yang sakit kronik dalam membimbing mereka melalui proses rawatan secara menyeluruh dan memberi motivasi sekiranya kehilangan orang yang mereka kasihi.

Pada majlis sama, Kelab Rotary Johor Bahru turut menerima cek bernilai RM3,000 sumbangan daripada syarikat hartanah, Seri Alam Properties Sdn Bhd.

Sementara itu, Shahrir dalam ucapannya berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Kelab Rotary Johor Bahru bagi membantu melaksanakan tanggungjawab sosial kepada ahli keluarga dan pesakit yang menerima rawatan di pusat berkenaan.

Ini kerana, persatuan sebegini perlu dalam membantu pihak yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan ketandusan motivasi untuk berjuang demi sebuah kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

WP-SpamFree by Pole Position Marketing